Artikel ini di tulis oleh Syahira Hozami Ke hadapan Ustazah Fatimah Syarha yang saya kasihi, assalamualaikum dan salam sejahtera mudah-mu...
Ke hadapan Ustazah Fatimah Syarha yang saya kasihi, assalamualaikum dan salam sejahtera mudah-mudahan rahmat dan kasihNya melimpahi kehidupan kita, dan mudah-mudahan redha Allah jua mengiringi setiap perbuatan kita dan mudah-mudahan, salah dan khilaf kita diberi keampunan oleh Tuhan
Baru ini saya melihat tersebarnya kenyataan ustazah dalam Fiqh Wanita TV3, mengenai isu DNA lembu yang masuk ke dalam badan kalau minum susu lembu.
Saya menghormati ustazah sebagai seorang yang proaktif dalam memberi pandangan, berhati-hati dalam memberi pendapat, dan tersusun bahasa apabila menyampaikan. Kupasan ustazah dalam bidang fiqh wanita banyak membuka minda wanita yang mengikuti kupasan ustazah baik dalam ceramah, di youtube, dalam buku atau novel dan sebagainya. Ustazah ke hadapan membawa idea yang baik untuk diketengahkan. Saya juga pernah menghadiri mukhayyam yang mana ustazah merupakan penceramahnya, di hadapan pada satu subuh yang hening, berkisah mengenai wanita dan perjuangan dalam Islam.
Atas dasar hormat itu saya ingin mengetengahkan seperkara yang saya lihat ustazah sampaikan telah tersasar dari fakta, meskipun niat ustazah baik dan mahukan yang terbaik bagi orang lain.
Iaitu, ustazah memberitahu mengenai DNA lembu yang masuk ke dalam tubuh bayi. Bagi saya, kenyataan ustazah ini mendatangkan sedikit kekeliruan, dengan ustazah meletakkan kenyataan ini dalam kondisi negatif kepada semua pihak.
Saya ingin memberitahu ustazah, DNA yang masuk ke dalam tubuh bayi (dalam hal ini saya merujuk susu lembu itu masuk melalu mulut dan oesophagus, kemudian masuk dalam perut ia dicerna, kemudian ke bahagian usus untuk diserap), ia diserap sebagai nutrient, dan tidak memberikan tindak balas kepada DNA manusia kecuali, susu itu mengandungi bahan radioaktif atau bahan-bahan yang merangsang mutasi kepada DNA seperti bahan yang mengandungi proflavin ( rujuk : http://pubchem.ncbi.nlm.nih.gov/compound/Proflavine ), bahan yang mengandungi 5-bromouracil ( rujuk :http://pubchem.ncbi.nlm.nih.gov/compound/5-Bromouracil ), mustard gas ( rujuk : http://pubchem.ncbi.nlm.nih.gov/compound/Mustard_gas ), hydroxylamine ( rujuk : http://pubchem.ncbi.nlm.nih.gov/compound/hydroxylamine ) dan lain-lain yang mana ia tidak dicampurkan dalam mana-mana susu yang diproses.
Bahan-bahan yang diproses meskipun kebiasaannya dilalukan dengan ionizing radiation, tetapi ia tidak mendatangkan kesan kepada manusia dan hanya cukup untuk bunuh bakteria sahaja - ia dipanggil food irradiation. Namun, proses bunuh bakteriapada bahan tenusu kebiasaannya menggunakan proses pasteurization (rujuk : http://www.milkfacts.info/…/Heat%20Treatments%20and%20Paste… )
Dengan fakta yang saya sebutkan di atas, mengatakan DNA manusia berubah atau terkesan dengan meminum susu lembu adalah satu kenyataan yang tidak berasaskan kepada rujukan yang berautoriti dalam bidang sains. Perbicaraan mengenai mutasi dalam tubuh badan manusia merangkumi tulisan yang lebih panjang, cukuplah saya menyatakan bahawa kenyataan ustazah sebelum ini tidak tepat dan perlu kepada rujukan semula.
Saya memahami tujuan ustazah mahu menonjolkan sisi baik mengenai susu ibu dan bagaimana, susu ibu itu lebih baik daripada susu yang lain. Tetapi saya juga berharap agar ustazah juga tahu dan mengambil kira, ada ibu-ibu di luar sana yang tidak mampu menyusukan anaknya atas faktor-faktor biologi, mengambil supplement atau ubat perangsang pengeluaran susu ada pro dan cons -nya yang tersendiri, dan selain itu ubat tersebut mahal bagi ibu-ibu yang tidak mampu untuk membelinya.
Saya berharap ustazah dalam mengetengahkan kelebihan susu ibu, supaya lebih berhati-hati dalam membawakan fakta. Susu ibu lebih baik bukan kerana faktor DNA, tetapi kerana susu ibu mampu memberi antibodi yang lebih baik kepada tubuh badan bayi berbanding susu lain. Susu manusia, mempunyai kandungan antibodi yang banyak dan cukup untuk melawan bakteria dalam tubuh anak-anak. bayi yang masih kecil tidak mampu untuk menghasilkan sistem imunisasi yang kukuh, manakala susu ibu mampu memberikan antibodi (IgA terutamanya) yang sudah siap sedia untuk melawan bakteria. Dari sisi lain, susu lembu yang dibancuh ada risiko memberi alergi kuat kepada bayi yang masih belum ada antibodi lawan alergi (IgE). Secara kesimpulannya, untuk mengatakan susu lembu atau susu lainnya tidak bagus untuk bayi secara total, adalah tidak tepat sama sekali.
Saya ingin membawakan rujukan yang saya kira mempunyai autoriti mengenai hal 'breast feeding' dalam laman :-
How Breast Milk Protects Newborns :
http://kellymom.com/…/bf-…/how_breastmilk_protects_newborns/
http://kellymom.com/…/bf-…/how_breastmilk_protects_newborns/
Immune factors in human milk :
http://kellymom.com/nutrition/milk/immunefactors/
http://kellymom.com/nutrition/milk/immunefactors/
Breast feeding: overview and breast milk immunology (abstract, article journal)
http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/7825463
http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/7825463
Transfer of antibody via mother's milk (abstract, article journal)
http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/12850343
http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/12850343
Saya berharap orang lain yang membaca post ini membuka link-link yang saya sertakan, atau setidak-tidaknya 'bookmark' page tersebut untuk rujukan mendatang.
Saya tidak mengatakan, bahawa pendapat saya lebih betul dari sesiapa, baik kepada ustazah sendiri. Saya cuma sampaikan apa yang saya tahu, dan semoga kita sama-sama dapat membaiki silap kita dan saling menegur dengan baik, dan semoga kita dijauhkan dari menjadi keyboard warrior.
Dari saya, yang banyak kelemahan,
Syahira Hozami
Pengajian Islam Dan Sains (Genetik & Biologi Molekul)
UM
Syahira Hozami
Pengajian Islam Dan Sains (Genetik & Biologi Molekul)
UM